Wednesday, 11 May 2011

Rasa kagum Raja Muda Perak terhadap rakyat jepun

Jepun kini menjadi inspirasi dunia bukan hanya kerana perkembangan teknologinya tetapi kecekalan rakyatnya berdepan malapetaka besar.Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, rakyat Jepun membuktikan bahawa manusia mampu meneruskan hidup dengan mempamerkan sifat keberanian, kecekalan, ketenangan dan kemurahan hati yang menjadi nilai budaya mereka selama ini.
"Penduduk di wilayah yang terjejas teruk tidak teragak-agak untuk membantu orang lain meskipun rumah serta harta milik mereka sendiri musnah dibawa arus."Walaupun mereka mempunyai pelbagai sebab untuk menitiskan air mata, mereka melakukannya secara terkawal. Mereka mempunyai sifat semulajadi untuk tetap tenang dan bersikap hormat dan sopan," titah baginda.Baginda bertitah demikian pada majlis bersama komuniti Jepun di Perak yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Konsul Jeneral Pejabat Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Tetsuro Kai di sini hari ini.Pada majlis tersebut, baginda menyampaikan bantuan sumbangan sebanyak RM687,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Antara pihak yang memberi sumbangan tersebut ialah Yayasan Sultan Azlan Shah, kerajaan negeri Perak, Sunway City Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad.Baginda bertitah, meskipun terdapat 500,000 orang penduduk Jepun dipindahkan dari rumah mereka akibat bencana itu, namun tidak wujud sebarang kejadian rusuhan, asakan mahupun desakan tidak puas hati.Menurut baginda, lelaki dan wanita yang sihat di negara itu membawa bekalan kepada mangsa lain selain sanggup menyerahkan catuan makanan kepada keluarga yang mempunyai anak dan warga emas."Ketenangan mangsa yang berbaris panjang untuk mendapatkan makanan, minuman dan minyak mengatasi keganasan gempa bumi yang menggegarkan negara itu. Kemesraan mereka juga mampu melawan cuaca sejuk yang perlu ditempuh," titah baginda.
Baginda turut menyampaikan rasa simpati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seluruh rakyat negeri ini kepada Maharaja Jepun, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta seluruh rakyat Jepun atas tragedi yang menimpa negara itu.

No comments:

Post a Comment